![]() |
Mohamed Razali. |
Setiausaha Eksekutif GRS, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata dalam dunia politik yang sangat dinamik, sebarang kemungkinan boleh berlaku, namun keutamaan GRS tetap kepada kepentingan rakyat Sabah.
“Kalau kita lihat dari sudut politik, segalanya mungkin. Tetapi buat masa ini, keputusan belum dibuat dan apa yang penting bagi kita adalah memastikan yang terbaik untuk rakyat Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Ketua Gagasan Rakyat Darau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Jelajah Darau Di Hati, hari ini.
Menurutnya, GRS bersifat inklusif serta menghargai rakan-rakan politik dari luar Sabah demi memastikan pembangunan dan kestabilan politik terus terjamin.
“Kita bukan eksklusif. Kita inklusif. Kita kena kenal dan hargai kawan-kawan kita yang bukan berada di Sabah.
“Itu yang sangat penting dalam memastikan semua agenda pembangunan dapat diteruskan secara bersepadu,” katanya.
Mengulas isu-isu yang sering dibangkitkan di kawasan Sepanggar, beliau mengakui wujudnya cabaran namun menegaskan kerajaan tidak menafikan perkara itu dan sedang mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, masalah itu memang ada dan tidak nafikan, tetapi apa yang penting adalah kerajaan sedang mengambil tindakan, ada perancangan jangka pendek serta jangka panjang yang sedang dilaksanakan.
“Kita perlu mendahului kepentingan kestabilan politik bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan konsisten dan berkesan.
“Apa yang kita perlukan ialah kestabilan. Kalau kita sering tukar kerajaan, dasar pun akan turut berubah dan akhirnya rakyat yang akan terjejas,” katanya.
Razali turut menyeru agar rakyat terus memberi kepercayaan kepada GRS untuk meneruskan agenda pembangunan dan menyelesaikan isu-isu yang membelenggu rakyat Sabah.
“Kita ada hala tuju yang jelas, dan semuanya telah didokumenkan, bukan hanya sekadar cakap kosong. Jadi, penting untuk kekalkan kerajaan GRS bagi menyelesaikan masalah rakyat secara berterusan,” katanya.