Lelaki ditahan berkait kes samun di Tawau


TAWAU: Seorang lelaki diberkas kerana dipercayai terlibat dalam satu kes samun yang berlaku di sebuah kebun di kawasan Hilltop, di sini, ketika mangsa sedang membeli sayur.

Tangkapan dibuat oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam satu operasi di Kampung Sentosa pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, kejadian samun itu dipercayai berlaku pada hari Rabu lepas.

Katanya, sebelum kejadian, suspek dipercayai mendekati mangsa dan meminta 'wang rokok' , namun permintaan itu tidak dihiraukan.

“Tidak lama selepas itu, dua individu yang tidak dikenali datang dan menyerang mangsa sebelum melarikan beberapa barang miliknya.

“Mangsa yang dalam keadaan takut, turut menyerahkan sejumlah wang tunai kepada suspek,” katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Berikutan laporan yang diterima katanya, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau telah melancarkan serbuan dan berjaya menangkap salah seorang suspek di sebuah rumah yang tidak bernombor di Kampung Sentosa.

Menurut Jasmin, pihak polis turut menemui dan merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kejadian tersebut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan suspek didapati mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama