20,000 ayam terbakar dalam kebakaran kandang di Kota Belud

Foto ihsan Bomba

KOTA BELUD — Lebih 20,000 ekor ayam ternakan hangus dalam satu kebakaran besar yang memusnahkan sebuah kandang ayam separuh kekal di Kampung Rampayan Ulu, tengah hari tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.34 tengah hari melalui talian MERS999.

Seramai 11 anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi sejauh dan tiba pada 1.18 petang.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati kandang ayam berkeluasan 360x50 kaki persegi telah terbakar hampir 95 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air, yang disalurkan dari jentera bomba serta tangki simpanan air di premis tersebut.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Api berjaya dikawal pada jam 1.56 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.00 petang selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan,” tambahnya lagi.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama