UMNO Sabah tidak mahu rakyat terus jadi mangsa ‘slogan kosong’ - Bung

Bung.

KOTA KINABALU: Meskipun slogan 'Sabah for Sabahan' disifatkan mampu menjadi slogan untuk membangkitkan semangat namun UMNO Sabah enggan melihat rakyat negeri ini menjadi mangsa 'slogan kosong'.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata apabila slogan terbabit dijadikan alasan untuk menolak kerjasama dari kerajaan Persekutuan, ia dilihat akan berubah menjadi sebuah dinding pemisah kesejahteraan dan kemajuan negeri ini.

"Kita tidak mahu Sabah terus menjadi mangsa percaturan slogan, sedangkan rakyat masih menagih air bersih, elektrik yang stabil dan peluang pekerjaan yang mampan.

"Rakyat Sabah hari ini semakin bijak. Mereka menilai berdasarkan prestasi, bukan provokasi. Mereka mahu pembangunan, bukan perpecahan. Mereka mahu kestabilan, bukan ketegangan yang dihidangkan demi kepentingan peribadi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ia merupakan maklum balas kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan yang didakwa menuduh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata slogan 'Sabah for Sabahan' bakal memecah-belahkan rakyat di Sabah.

"Sebagai Ketua UMNO Sabah, saya ingin menegaskan bahawa memperjuangkan hak negeri ini bukanlah suatu perlumbaan, tetapi suatu tanggungjawab yang perlu digalas dengan kewarasan sejarah, kesantunan politik, dan keberanian membina, bukan memecah.

"Sejarah telah mengajar kita bahawa tokoh seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun tidak menegakkan hak Sabah dengan meniup api perpecahan.

"Sebaliknya, beliau mengangkat martabat Sabah dengan membina jambatan kepercayaan antara negeri ini dan Persekutuan.

"Inilah semangat yang diwariskan kepada kita semangat yang matang, berpijak di bumi nyata, dan tidak menjadikan slogan sebagai ganti penyelesaian," katanya.

Susulan itu, Bung yang juga merupakan Pengerusi BN Sabah itu berkata suara Sabah di peringkat Persekutuan kini lebih dihormati.

"Hak perjawatan, peruntukan pembangunan, dan penglibatan dalam dasar-dasar nasional kini sedang dikembalikan secara berperingkat melalui rundingan dan diplomasi, bukan demonstrasi," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama