![]() |
Joachim (tengah), pada sidang media sempena sambutan ulang tahun kelahiran TYT Sabah. |
KOTA KINABALU: Seramai lebih 10,000 orang dijangka bakal memeriahkan Padang Merdeka sempena acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan terbabit, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata sebanyak 80 kontinjen akan menyertai perbarisan sempena sambutan tersebut.
Katanya, ia melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) serta pelajar sekolah.
“Saya amat berterima kasih dan berasa bangga dengan penglibatan semua ini. Ini menunjukkan semangat patriotik yang ada terhadap pemimpin kita iaitu Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah,” katanya.
Belia berkata demikian semasa sidang media Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Tahun 2025 bertempat di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, kelmarin.
Menurut beliau, sebanyak tujuh acara juga bakal dilaksanakan pihaknya sebagai antara pengisian program sempena sambutan terbabit.
Antaranya adalah Majlis Jamuan Teh Bersama Anak-Anak Istimewa dan Anak-Anak Yatim pada 14 Jun, Sambutan Hari Etnik Sabah pada 15 Jun serta Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat yang akan dilaksanakan pada 19 Jun ini.
Manakala, empat acara kemuncak bakal dilaksanakan seawal enam pagi pada 21 Jun 2025 bersama TYT Sabah.
“Pada Sambutan Hari Etnik Sabah, lebih kurang 800 jumlah persatuan-persatuan etnik di Sabah ini yang akan bersama-sama dengan Tuan Yang Terutama,” jelas beliau.