![]() |
Suspek ditahan kerana disyaki memiliki MyKad, MyKid dan Sijil Lahir milik orang iain. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU : Tindakan mencurigakan seorang lelaki warga asing membawa kepada penemuan beberapa dokumen pengenalan diri milik orang lain yang disimpan secara tidak sah, dalam satu operasi rondaan cegah jenayah oleh pasukan polis di daerah ini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, suspek berusia lingkungan 30-an ditahan sepasukan Strike Team dari Balai Polis Tawau ketika berada di hadapan sebuah bangunan di pusat bandar di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semasa rondaan dijalankan, pasukan yang diketuai Inspektor Hamka Ab Rashid telah mengesan kelibat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, ketika cuba ditahan suspek bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dompet miliknya menemui dua keping MyKad, satu MyKid serta satu sijil kelahiran yang kesemuanya disyaki bukan kepunyaan suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk berada di Malaysia dan dipercayai menyimpan dokumen itu bagi tujuan tertentu yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Mengulas lanjut Jasmin berkata, suspek kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
Jelasnya lagi, kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki dokumen pengenalan diri milik orang lain, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis akan terus mempergiat rondaan serta pemeriksaan di lokasi panas sekitar Tawau dalam usaha membanteras aktiviti jenayah dan pendatang tanpa izin.