![]() |
Jeffrey ketika ditemui media. |
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, sambutan memberangsangkan itu membuktikan komitmen tinggi generasi muda terhadap bahasa dan warisan mereka.
“Saya yakin usaha ini mampu memastikan bahasa ibunda tidak pupus, malah terus berkembang dalam kalangan generasi muda.
“Kualiti penyampaian peserta tahun ini, khususnya dalam kategori Manangon, Monusuyan dan Roisol, jauh lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini petanda yang sangat positif,” katanya kepada media selepas acara akhir pertandingan itu, pada Ahad.
Jeffrey yang juga Pengerusi Pelaksana Induk Pesta Kaamatan 2025,turut menyifatkan pertandingan itu sebagai platform penting dalam mendidik pelajar mencintai budaya sendiri, sekali gus membina asas kukuh dalam pembangunan jati diri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Dewan Bahasa Kadazan Dusun (DBKD), yang ditubuhkan pada 2019, kini kembali aktif sebagai badan rujukan khusus untuk dokumentasi dan pemeliharaan bahasa Kadazan Dusun.
“DBKD kini diterajui oleh Tindarama Rayner F. Udong dan berperanan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi khusus untuk bahasa Kadazan Dusun.
“Kita perlu institusi tetap seperti ini untuk memastikan kesinambungan bahasa ibunda terus terpelihara,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri komited memperkukuh usaha ini menerusi kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Sabah, Dewan Bahasa dan Pustaka serta pelbagai persatuan berkaitan.
Beliau turut mencadangkan agar pertandingan seumpama ini diperluaskan kepada kategori lain seperti penulisan, nyanyian dan kuiz bagi menarik minat lebih ramai pelajar.
“Pertandingan seperti ini bukan sekadar mencungkil bakat, malah menjadi asas penting dalam membentuk kebanggaan terhadap bahasa dan identiti etnik masing-masing,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah merangkap Pengerusi Pelaksana Bersama, Datuk Raisin Saidin dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Tindarama Rayner F. Udong.