![]() |
Bung. |
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya menyambut baik keputusan mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Mei lepas yang bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dalam mendepani PRN17.
"Kita akui, realiti politik hari ini menuntut kematangan dan keikhlasan dalam membina kestabilan.
"Demi masa depan negeri, kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus.
"Kerjasama ini akan dirunding dengan teliti oleh kepimpinan BN Sabah dan Pakatan PH Sabah, termasuk soal pengagihan kerusi serta pendekatan bersama dengan mana-mana parti yang sehaluan.
"Kami menghormati proses ini dan akan memastikan setiap keputusan dimuktamadkan dengan semangat muafakat, seperti yang telah ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya akan menggerakan seluruh jentera dengan penuh komitmen dan keikhlasan sepenuhnya untuk menghadapi PRN17.
"Kita bukan sahaja mahu menang, tetapi kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen.
"Kita percaya bahawa kestabilan hanya dapat dicapai apabila kuasa digunakan dengan amanah, dan politik dijalankan dengan adab serta matlamat yang jelas bukan untuk diri, tetapi untuk negeri.
"Kita telah belajar daripada masa lalu, dan hari ini kita bersedia untuk membina masa depan bersama," katanya.
Hari ini, media melaporkan BN dan PH sepakat untuk menjalin kerjasama dalam PRN17 Sabah
Menerusi kenyataan bersama Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat, semalam.