![]() |
Shamsul sewaktu ditemui media selepas merasmikan Program Jelajah Taat Setia MADANI peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat. |
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan komitmen penuh dalam memperkukuh integriti penjawat awam serta menangani segala bentuk penyalahgunaan kuasa, khususnya dalam kalangan ketua jabatan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha strategik memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan memacu sistem tadbir urus negara ke arah lebih telus dan berakauntabiliti.
“Saya mengetuai Task Force Khas CPI bagi memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan dalam soal persepsi integriti.
"Kita juga mewujudkan Jawatankuasa Tata Kelola, dan dua projek besar di bawah Institut Integriti Malaysia, Indeks Integriti dan SPINE, yang akan mula dilaksanakan 12 Oktober ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Jelajah Taat Setia MADANI peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Shamsul turut menegaskan tindakan tegas menanti mana-mana ketua jabatan yang didapati menyembunyikan atau gagal melaporkan sebarang salah laku melibatkan isu tadbir urus dalam agensi masing-masing.
“Kita akan kenakan markah demerit sebanyak 15 peratus, dan tindakan tatatertib akan diambil terhadap mereka yang gagal bertindak,” tegas beliau.
Bagaimanapun, katanya, majoriti penjawat awam kekal berintegriti dan jumlah yang terlibat dengan salah laku adalah sangat kecil, kurang daripada 10 peratus.
“Sebahagian besar hukuman melibatkan tindakan pentadbiran seperti tahan kenaikan gaji dan pangkat, tapi kita pantau semua agensi secara menyeluruh kerana isu integriti ini merentas semua sektor,” jelas beliau.