PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Pesta Kaamatan sebagai simbol kepelbagaian dan perpaduan yang mampu menjadi platform menolak sebarang agenda perpecahan.
Katanya, nilai inklusiviti dan perpaduan antara pelbagai kaum dan agama di Malaysia merupakan elemen penting dan susulan itu, rakyat diseru menolak hasutan yang bersifat memecah-belahkan masyarakat.
“Dalam mana-mana negara, penduduknya pelbagai kaum, pelbagai suku kaum dan agama, semangat yang kita sebut ''inclusivity' ini penting.
“Saya boleh sebut ratusan perbezaan antara Kaamatan dengan Hari Raya Haji, Gawai, Deepavali atau Krismas. Tapi saya juga boleh sebut ratusan persamaan; semangat ihsan, kebaikan, kemanusiaan. Mengapa kita pilih perbezaan?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah bertempat di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Dalam pada itu, Anwar turut menghargai keputusan Hajiji yang memilih untuk terus menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam membangunkan negeri ini.
Disamping itu, beliau turut mengumumkan pelaksanaan bagi pemasangan lampu jalan solar berskala besar yang membabitkan kawasan kampung dan pedalaman Sabah.
“Saya luncurkan Solar MADANI di Sarawak, dua bulan lalu dan kita akan pasang tiang elektrik solar hampir semua kawasan pinggir bandar, desa dan pedalaman termasuk di Sabah,” jelasnya.