PM jamin tambah peruntukan, selesaikan isu air di UMS

Perdana Menteri ketika berucap pada Perasmian Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), hari ini.

 

PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pihaknya, bersedia menyalurkan peruntukan tambahan bagi menyelesaikan isu bekalan air yang berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk  memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai permasalahan tersebut dimana kembali berulang meskipun kerajaan Persekutuan telah meluluskan dana awal sebelum ini.

“Saya sampai dua tahun lebih dulu, saya bagi RM3 juta segera. Selesai sekejap, tapi bocor balik. Kemudian anak-anak kita, mahasiswa anak kita rasa gelisah.

“Saya beritahu Ketua Menteri, kalau dikatakan perlu tambahan peruntukan, saya bagi, kerana ini anak-anak kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah bertempat di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sedang mengumpulkan maklumat lengkap bagi merangka penyelesaian jangka panjang terhadap isu tersebut.

Menurutnya, walaupun pihaknya tidak menafikan masih terdapat kelemahan dalam sistem penyampaian, namun komitmen untuk terus mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat tetap menjadi keutamaan.

"Apakah semuanya sempurna? Belum. Bagilah berapa bilion ringgit pun baiki jalan, masih ada satu dua tempat yang masih lubang-lubang. Jadi kita harus terus prihatin, dengar dan cuba selesaikan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama