TAWAU: Keputusan berhubung kemungkinan kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tumpuan utama ketika ini adalah untuk memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dilihat berjaya membawa perubahan ketara kepada landskap pembangunan Sabah.
“Setakat ini, seperti yang dimaklumkan, kerajaan negeri diterajui GRS-PH Plus di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji yang konsisten dengan pendirian untuk memperkukuhkan kerajaan sedia ada.
“Ketika ini hasil negeri semakin meningkat, pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat khususnya golongan B40 dan miskin tegar, serta inisiatif pembangunan modal insan telah pun dilaksanakan.
“Usaha menyelesaikan isu-isu legasi seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya juga sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Fun Run 2.0 anjuran Kelab Belia Kampung Tanjung Batu (KBKTB), di sini, hari ini.
Mengulas mengenai hubungan GRS dan UMNO yang dilihat tegang kebelakangan ini, Nizam berkata, sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama atau gabungan antara kedua-dua pihak hanya akan diputuskan menerusi rundingan di peringkat tertinggi.
“Sebagai Ketua Penerangan, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan segala keputusan yang dibuat adalah selaras dengan aspirasi akar umbi dan demi kemenangan gabungan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan untuk memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara, khususnya dalam mendepani cabaran pembangunan dan ekonomi pasca pandemik.
Katanya, politik Sabah perlu kekal stabil dan kerajaan yang ada hari ini telah meletakkan asas yang kukuh ke arah pembangunan menyeluruh.
“Proses pelaksanaan sesuatu projek bukanlah bersifat segera, ia memerlukan masa dan perancangan rapi sama ada tiga atau empat tahun.
“Namun kita yakin kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji mempunyai keupayaan dan komitmen untuk merealisasikan agenda pembangunan ini,” katanya.