![]() |
Pandikar Amin (kiri), Rafie (kanan). |
Rafie berkata GRS terbentuk atas dasar saling percaya dan tanggungjawab bersama, bukannya hasil paksaan atau ugutan.
Justeru, katanya, jika ada pihak yang merasakan tidak puas hati, lebih baik mereka berundur secara terbuka daripada terus menjadi ‘musuh dalam selimut’ yang hanya merosakkan keharmonian gabungan.
“Ini demokrasi, tetapi demokrasi bukan tiket untuk mengugut, menghasut atau menjadi gunting dalam lipatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Rafie turut mengimbas kembali sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun 2020, di mana semua calon Parti USNO, termasuk Presidennya Tan Sri Pandikar Amin Mulia, tewas, dan sebahagian besar hilang deposit.
“Atas keikhlasan dan keterbukaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, USNO tetap diberikan kedudukan dan kemudahan dalam kerajaan negeri.
“Empat tahun dalam kerajaan, guna semua kemudahan, nikmati semua faedah. Tapi di saat akhir, tunjuk belang. Ini bukan lagi politik matang, tetapi ini pengkhianatan senyap,” katanya
Beliau mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin USNO yang kini bersuara lantang selepas berdiam diri selama empat tahun.
Katanya, nada suara mereka, kini berubah menjadi bentuk ugutan dan tuntutan, seolah-olah mahu menggugat kestabilan gabungan menjelang pilihan raya.
“Budaya kepimpinan dalam USNO sendiri yang dilihat tidak mengamalkan demokrasi dalaman, apabila jawatan-jawatan utama dikawal ketat oleh Presiden tanpa memberi ruang kepada pemimpin pelapis.
“Jika dalam rumah sendiri pun enggan berkongsi kuasa, apatah lagi dalam gabungan? Pemimpin sebegini tidak layak bercakap soal hak dan keadilan dalam GRS,” katanya.
Rafie menyeru agar GRS tidak berlembut terhadap mereka yang tidak menunjukkan kesetiaan terhadap perjuangan bersama.
Katanya, gabungan itu dibina oleh mereka yang benar-benar bekerja untuk rakyat, bukan mereka yang hanya aktif apabila musim pilihan raya tiba.
“Gabungan ini tidak dibina untuk melayan kehendak peribadi sesiapa. Kalau ada yang mahu bakar rumah ini dari dalam, kita keluarkan mereka sebelum api marak.
“Kepimpinan sebenar hanya dapat dilihat ketika saat-saat sukar, dan rakyat khususnya golongan muda di Sabah kini semakin muak dengan watak-watak politik yang berpura-pura setia tetapi menikam dari belakang,” katanya.