Program Pentarama perkukuh jati diri pelajar

Peter (kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada pelajar.


TAWAU :  Program Pentarama @ Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dilihat mampu memperkukuh jati diri serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JaPen Sabah, Peter Tong Ah Pin berkata, pengisian program menerusi persembahan artis-artis Pentarama berupaya menanam semangat kenegaraan serta memupuk nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda.

“Elemen kesedaran melalui taklimat berkaitan keselamatan siber serta persembahan lagu-lagu patriotik mampu memberi impak positif kepada pelajar, sekali gus memperkukuhkan jati diri mereka.

“Melalui program seperti ini juga, pelajar dapat didedahkan kepada isu keselamatan digital dan memahami peranan mereka dalam mengekalkan keharmonian negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Jiwa @ Kelab Malaysiaku yang berlangsung di Sekolah Menengah Konven St. Ursula, di sini semalam.

Tambah beliau, mesej berkaitan isu semasa seperti keselamatan siber turut disampaikan bagi mengelakkan pelajar terjebak dengan jenayah dalam talian.

Sementara itu, Pengetua SMK Konven St. Ursula, Renaldo De Lo Santos menyifatkan pemilihan sekolah berkenaan sebagai lokasi penganjuran program sebagai satu penghormatan yang besar.

Katanya, ia selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membina karakter pelajar berteraskan nilai jati diri dan sahsiah yang tinggi.

“Program ini amat bertepatan dengan usaha KPM untuk melahirkan pelajar berakhlak, berwibawa serta peka terhadap isu semasa seperti keselamatan digital dan buli siber.

“Kelab Malaysiaku juga memainkan peranan penting dalam menyemai semangat patriotisme, khususnya semasa sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Ahli-ahlinya sering menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan program-program patriotik di sekolah, termasuk dalam menyampaikan mesej perpaduan dan cinta akan negara,” jelasnya.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama