94 PATI ditahan dalam Ops Gempur di Penampang


PENAMPANG: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menahan seramai 94 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Operasi Gempur Bersasar yang dilaksanakan di sekitar Penampang, hari ini.

Operasi yang bermula pada jam 10.00 pagi itu melibatkan seramai 75 pegawai penguat kuasa daripada pelbagai pangkat dan dilaksanakan serentak di seluruh negara.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof, operasi berkenaan dijalankan hasil aduan awam serta risikan selama seminggu oleh Bahagian Penguatkuasa.

Pemeriksaan ke atas sebuah tapak pembinaan di Penampang mendapati 165 individu diperiksa, dan daripada jumlah itu, 94 PATI ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 60 lelaki dewasa, 12 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan.

Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Antara kesalahan yang disyaki termasuk, salah guna pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; tiada dokumen pengenalan diri di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63; tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c), Akta yang sama.

Imigresen turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat mengenai kegiatan PATI dan majikan yang menggaji mereka secara tidak sah kepada pihak berkuasa.

Setakat ini, sebanyak 11,000 individu telah diperiksa dengan 1,956 tangkapan dilakukan dan 4,851 PATI telah dihantar pulang ke negara asal.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama