GRS hormati pandangan PM, namun keputusan akan dirujuk kepada AMT - Hajiji


KUNAK: Sebarang keputusan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang akan dirujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan keputusan yang diambil mencerminkan kehendak dan pandangan gabungan secara menyeluruh demi kestabilan politik negeri.

“Kita akan rujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi GRS untuk membuat keputusan selanjutnya mengenai pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada media sempena lawatan kerja ke daerah Kunak, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, kestabilan politik merupakan keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan teratur.

Mengulas mengenai hubungan politik semasa, beliau berkata kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah berjalan lancar dan saling menghormati.

“Kerajaan negeri ketika ini adalah hasil kerjasama GRS dan PH dan setakat ini tiada sebarang masalah timbul.

“Kita hormat pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan komited untuk mewujudkan suasana politik yang stabil,” katanya.

Menurutnya, dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri kelmarin di Tawau, isu kestabilan politik turut dibincangkan selain pentingnya memahami aspirasi rakyat tempatan.

“Kita perlu mendengar suara rakyat Sabah bagi membentuk persefahaman politik yang kukuh demi masa depan negeri,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut memuji usaha pembangunan yang dirancang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif termasuk pewartaan tanah milik LPPB sebagai tanah perkampungan.

“Inisiatif ini memberi manfaat besar kepada rakyat dan membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan di kawasan luar bandar.

“Kerajaan negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kemajuan rakyat Sabah secara menyeluruh,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama