GRS harus tanding sekurang-kurangnya 50 kerusi DUN Sabah

Mazlan Joehari, Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lumadan.

BEAUFORT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan datang.

Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan menyuarakan pandangannya mengenai jumlah kerusi yang wajar ditandingi sekiranya berlaku kerjasama dengan parti lain.

Mazlan menegaskan bahawa dalam apa jua bentuk kerjasama, GRS perlu menjadi pihak dominan dan mencadangkan agar gabungan itu bertanding minimum 50 daripada 73 kerusi DUN.

“Saya secara peribadi berpendapat, GRS harus tanding sekurang-kurangnya 50 daripada 73 kerusi Dun sedia ada, jika berhasrat mahu bekerjasama tetapi sekiranya tiada perundingan, kita bersedia bergerak solo pada PRN17,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada 11 Mei lalu.

Beliau turut menyatakan bahawa GRS bukan sekadar sebuah gabungan biasa, sebaliknya merupakan satu kesatuan matang yang menjadi suara rakyat Sabah yang menginginkan kemajuan, kestabilan dan keadilan.

"Paling penting, kita ada kuasa autonomi sebagai sebuah gabungan parti tempatan utama berbanding pihak-pihak lainnya,” katanya.

Mazlan turut mengulas kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang menyatakan kesediaan GRS untuk bertanding secara solo dalam PRN17 sebagai reaksi terhadap keputusan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang akan bekerjasama menghadapi pilihan raya itu.

Bagaimanapun, Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud baru-baru ini menyatakan bahawa masih ada ruang untuk perbincangan mengenai potensi kerjasama antara GRS dan gabungan PH-BN.

Mengulas kenyataan tersebut, Mazlan menegaskan bahawa pelbagai kemungkinan boleh berlaku, namun sebagai gabungan utama di Sabah, GRS perlu memainkan peranan utama dalam membentuk hala tuju negeri.

"GRS adalah sebuah gabungan politik utama di wilayah ini yang tidak wajar dipandang rendah oleh mana-mana pihak kerana ia mewakili denyut nadi rakyat Sabah secara menyeluruh.

“Ia juga bukan sekadar gabungan biasa, ia adalah satu kesatuan yang matang dan manifestasi suara rakyat Sabah yang mahukan kemajuan, kestabilan, dan keadilan.

"Gabungan ini adalah 'bahtera besar' yang membawa harapan dan masa depan wilayah ini,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama