![]() |
Foto ihsan: Fb Ecos. |
KOTA KINABALU: Sebanyak 15 institusi latihan di Sabah telah ditauliahkan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) bagi mengendalikan Program Kompetensi Elektrik dalam pelbagai kategori.
Penyerahan Perakuan Pentauliahan yang telah diadakan pada 19 Mei dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya mewakili YAB Ketua Menteri dalam acara pelancaran Majlis TVET Sabah di Magellan Sutera Harbour.
Pentauliahan ini membuktikan komitmen ECoS bersama institusi-institusi latihan dalam menyokong hasrat kerajaan untuk mengangkat TVET sebagai pilihan utama bagi anak-anak tempatan untuk melanjutkan pelajaran. Ini juga bagi memastikan graduan TVET Sabah dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
“Pentauliahan ini dijangka akan meningkatkan keyakinan industri terhadap kualiti graduan TVET Sabah, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara keseluruhan”, kata Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, dengan menambah bahawa Pelancaran Majlis TVET Negeri Sabah adalah satu lagi langkah penting dalam memastikan ekosistem TVET yang holistik dan responsif kepada keperluan industri.”
Menurut Nasser, ECoS dan Institut Latihan Teknikal dan Perdagangan (ILTP) yang merupakan institusi latihan di bawah kerajaan Negeri juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Institusi TVET Angkat yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi dalam sektor tenaga yang merangkumi bidang elektrik, gas dan tenaga boleh baharu.
Antara bidang kerjasama yang dipersetujui adalah perwujudan Program Kompetensi Jurugegas Gas di ILTP untuk rakyat Sabah, bertujuan meningkatkan bilangan Orang Kompeten Gas di negeri ini, di mana ECoS akan menyediakan kepakaran dan nasihat teknikal dalam pembangunan sukatan pelajaran, modul pembelajaran, dan penentuan fasiliti yang sesuai.
Selain itu, ILTP akan dinaiktaraf secara berperingkat untuk mengendalikan Program Kompetensi Elektrik bagi kategori Penjaga Jentera Elektrik dan Pendawai Elektrik (sehingga tahap B4 dan PW4) dengan bimbingan teknikal daripada ECoS.
Datuk Ir. Nasser juga berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan ILTP yang telah menamatkan mana-mana Program Kompetensi di bawah ECoS, dengan ECoS berperanan sebagai badan rujukan utama bagi pematuhan dan pentauliahan secara berterusan di ILTP.
Senarai institusi TVET yang telah mendapat pentauliahan daripada ECoS boleh dirujuk melalui pautan https:// ecos.gov.my/content/accredited-training-centres