Bung Moktar, Zizie gagal cabar pertuduhan rasuah RM2.8 juta hari ini

Bung dan Zizie. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakan keputusan arahan untuk membela diri Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, hari ini.

Memetik sumber Harian Metro, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali secara sebulat suara memutuskan untuk menolak permohonan pasangan terbabit.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Mahkamah menyatakan pasangan itu selaku perayu gagal memenuhi syarat ambang yang menunjukkan terdapat keadaan luar biasa atau ketidakadilan serius yang boleh membenarkan semakan terhadap keputusan terdahulu.

"Oleh itu, permohonan perayu untuk mendapatkan kebenaran semakan adalah ditolak," katanya.

Pada Mac lalu, Bung Moktar dan isterinya mengemukakan permohonan terbabit di bawah Peraturan 105, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Ia dikemukaman atas alasan bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pendakwaan dan mahu panel semakan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Ketika prosiding berlangsung, Bung Moktar dan isteri diwakili oleh peguam M. Athimulan manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.

Sebelum ini, media melaporkan pada 18 November tahun lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga kes rasuah berkenaan selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 April lalu turut membenarkan permohonan pasangan itu untuk menggantung prosiding pembelaan mereka sehingga semakan keputusan terbabit diputuskan.

Tarikh bagi perbicaraan seterusnya telah ditetapkan pada 18 Ogos ini.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama