PRN17: GRS perlu sedia tanding solo, kemungkinan berdepan pertembungan terbuka - Joniston

Joniston.


KIULU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu bersedia untuk bertanding secara solo dan menghadapi sebarang kemungkinan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijadualkan berlangsung tahun ini.

Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata percanggahan pendapat mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti yang berhasrat untuk membentuk pakatan berpotensi mencetuskan pertembungan terbuka dalam PRN17.

"Hajiji (Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor) telah berkata bahawa GRS bersedia untuk melakukannya sendiri selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani deklarasi bersetuju untuk bekerjasama dalam PRN Sabah telah disifatkan ramai sebagai penghinaan yang disengajakan kepada GRS," katanya. 

Neliau berkata demikian ketika sesi bertemu rakyat di Kampung Tibabar, di sini, selepas merasmikan jalan raya Poturidong - Tibabar yang dinaik taraf.

Dalam pada itu, beliau turut berkata rakyat Sabah boleh menganggap PRN akan datang sebagai referendum (pungutan suara) untuk memilih antara GRS berasaskan tempatan, BN pimpinan UMNO, PH dan Parti WARISAN plus.

"Ini akan menjadi ujian yang jelas sama ada kita mahu dipimpin oleh pemimpin dari parti tempatan atau oleh mereka yang menjawab kepada parti yang beribu pejabatnya di Kuala Lumpur," katanya.

Katanya lagi, GRS juta telah menunjukkan bahawa gabungan berasaskan tempatan mampu menyampaikan pembangunan bermakna sambil bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan.

Sebagai contoh, Joniston mengulangi bahawa walaupun GRS berasaskan tempatan menerajui kerajaan negeri, ia menikmati hubungan kerja yang mesra dengan Putrajaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pemberian khas tahunan Persekutuan telah dinaikkan daripada RM53 juta semasa WARISAN memerintah kepada RM600 juta di bawah GRS.

Satu lagi contoh ialah pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara kerajaan negeri yang diterajui GRS dan Petronas, yang membawa manfaat ketara untuk Sabah dan meningkatkan pendapatan negeri.

Hasil daripada tadbir urus yang baik dan pelan dan strategi pembangunan tertumpu di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya ditambah dengan hubungan baik dengan Putrajaya, hasil tahunan negeri meningkat kepada RM6.9 bilion dan rizab negeri hampir RM8 bilion.

“Kami bukan anti-Persekutuan, tetapi kami percaya Sabah mesti memimpin sendiri, dengan pemimpin tidak terikat dengan arahan luar.

“GRS adalah bukti Sabah boleh bekerjasama secara matang dengan Putrajaya, dan masih mengutamakan rakyat Sabah di atas segalanya,” katanya.

Joniston dalam pada itu juga berkata gerakan politik masa lalu yang melibatkan UMNO-BN, WARISAN, dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk menggulingkan Hajiji pada Januari 2023 disifatkan berniat buruk dan merosakkan politik.

Susulan itu, beliau menggesa agar rakyat mengambil iktibar mengenai peristiwa itu dan memilih kestabilan politik.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama