KOTA KINABALU: Sebanyak 14 rumah tradisional akan dibuka kepada orang awam sebagai rumah terbuka sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah bagi tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata insiatif terbabit adalah bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk mendalami tradisi warisan negeri ini.
Menurutnya, pembukaan rumah tradisional ini juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkayakan pengalaman pengunjung serta mempromosikan keunikan budaya Sabah ke seluruh dunia.
“Saya juga berharap harap agar rumah-rumah tradisi kali ini juga akan terbuka sebagai rumah terbuka.
“Jadi rakyat kita dapat melawat rumah-rumah tradisi dan satu daripadanya terletak di atas bukit,” katanya pada sidang media Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Shangri-La Tanjung Aru, hari ini.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa rumah-rumah tradisi yang dipamerkan akan memperkenalkan minuman, pakaian dan muzik oleh penduduk tempatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai langkah keselamatan dan garis panduan telah disediakan bagi memastikan suasana yang harmoni sepanjang pesta.
“Kami menasihatkan para pengunjung untuk menjaga tingkah laku semasa menikmati sambutan. Jangan berlebihan dalam apa jua aktiviti seperti makan, minum, atau menari,” jelasnya.
Menurutnya, melalui tema “Kaamatan untuk Semua,” Pesta Kaamatan 2025 ini diharapkan dapat menjadi platform utama bagi memupuk perpaduan, mempromosikan pelancongan, dan meningkatkan peluang ekonomi di negeri Sabah serta di seluruh Borneo.
“Mungkin satu hari nanti kita akan cuba untuk mencari jalan berunding dengan Sarawak untuk melaksanakan Pesta Kebudayaan Borneo dan Sukan,” jelas beliau.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Datuk Seri Clarence Bongkos Malakun berkata bagi melancarkan perjalanan program, pihak berkuasa telah menetapkan bahawa muzik dan aktiviti di rumah tradisional akan dihentikan tepat jam satu pagi.
Katanya, ia bagi mengelakkan gangguan kepada penduduk setempat.
“Untuk pengetahuan tahun lalu banyak rumah-rumah tradisi yang kena kompaun. Selepas jam satu, pihak berkuasa dan pelaksanaan keselamatan dengan MPP akan memberi kompaun kepada rumah yang melebihi daripada jam satu pagi,” katanya.
Turut dilaporkan sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan merasmikan acara pada hari pertama.
Manakala bagi majlis penutupan rasmi akan disempurnakan oleh Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.