KOTA KINABALU,: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di empat premis kedai makan sekitar pusat bandar Kota Kinabalu malam tadi.
Operasi bermula jam 7 malam itu diketuai Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof bersama dua pengarah kanan, Rosmaliza Mohamed Rashid dan Asani Ladjani.
Sh Sitti Saleha berkata, sebanyak 63 pegawai penguat kuasa dari seluruh negeri terbabit dalam operasi berkenaan.
Katanya, daripada 64 individu yang diperiksa, seramai 15 PATI warga India dan Filipina ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan melanggar syarat pas.
"Kesemua mereka telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, JIM Sabah menegaskan komitmen untuk meneruskan operasi sebegini secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
Katanya, pada masa sama, pihak majikan turut diingatkan agar tidak menggaji atau melindungi PATI kerana tindakan tegas boleh diambil
"Kesalahan itu boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.