KOTA KINABALU — Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bertekad mempertahankan kerusi yang sedang disandang dan pada masa sama menyasarkan kemenangan di beberapa kerusi tambahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, sebagai komponen dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah, parti itu bersedia menjadi pemain penting dalam memastikan masa depan negeri serta rakyat terus diperkasa.
“Parti UPKO mesti bersiap siaga menjadi pemain pasukan rakyat Sabah. Keputusan kita mesti berlandaskan kepada tujuan dan matlamat penubuhan parti, berpandukan kepada akal budi dan rasional yang strategik dengan memberi fokus kepada masa depan Sabah dan rakyatnya,” katanya.
Ewon berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ulang Tahun UPKO Ke-31 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa PRN kali ini bukan sekadar pertarungan retorik politik atau permainan emosi, sebaliknya medan untuk menilai tahap perpaduan rakyat serta kemajuan negeri ini dalam pelbagai aspek.
Jelasnya, UPKO kini giat mengadakan perbincangan dalaman bersama PH Sabah serta rundingan tidak rasmi dengan beberapa gabungan lain bagi menentukan hala tuju dan strategi menghadapi PRN.
“Kita sudah 62 tahun menganggotai Persekutuan Malaysia. Tempoh ini cukup lama untuk menginsafi kemajuan infrastruktur, ekonomi, tadbir urus serta kualiti kerjasama politik di Sabah,” ujarnya lagi.