![]() |
Nurul Izzah. |
KOTA KINABALU: 21 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyokong penuh cadangan Naib Presiden parti terbabit, Nurul Izzah Anwar untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti untuk sesi 2025-2028.
Sokongan terbabit dinyatakan dalam satu kenyataan media bersama oleh Ketua Cabang Kota Belud, Sepanggar, Kudat, Kinabatangan, Penampang, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Kimanis, Sandakan, Tawau, Beaufort, Ranau, Papar, Beluran, Libaran, Pensiangan, Silam, Sipitang, Batu Sapi, Tenom dan Kalabakan.
Menerusi kenyataan itu, beberapa ketua cabang PKR Sabah ketokohan dan pengalaman Nurul Izzah dalam parti selama lebih dua dekad disifatkan mampu membawa nafas baharu disamping memperkukuh agenda reformasi serta mengangkat suara akar umbi khususnya di Sabah
"Dengan ini, Kami selaku Ketua-Ketua Cabang PKR Sabah, ingin menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden seperti yang diumumkan oleh beliau sebelum ini.
"Untuk jawatan Timbalan Presiden pihak kami sedang menunggu pengumuman rasmi daripada Pn. Nurul Izzah dan bersedia menyokong jika memberi kebaikan kepada perjuangan parti.
"Kami yakin ketokohon beliau sebagai Puteri Reformasi mampu untuk memartabatkan imej parti dikalangan generasi muda dan memberi harapan dan nafas baru kepada gerakan reformasi dalam menjayakan Gagasan Malaysia Madani," jelas dalam kenyataan tersebut.
Walau bagaimanapun, kenyataan itu turut menyatakan penilaian risiko perlu dibuat sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Menurutnya, ini bagi mengelakkan parti terus bergolak dengan pelbagai spekulasi yang banyak menimbulkan keraguan dan syak wasangka.
"Kita perlu memastikan Parti Reformasi ini terus didokong oleh rakyat dan menjadi harapan untuk masa depan yang lebih baik. Kita perlu kembali kepada asas penubuhan parti ini dan idealisma perjuangan yang kita dokong selama ini.
"Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi. Oleh itu kami berharap sebarang keputusan dan tindakan akan terus mengukuhkan parti dimata rakyat Sabah dan memberi keyakinan kepada ahli dan pengundi," jelasnya.