Bebas atau ke tali gantung, nasib 13 remaja diketahui 11 Jun

Nasib  13 remaja yang dituduh bersama-sama membunuh rakan mereka di Kolej Vokasional Lahad Datu, pada Mac tahun lalu dijangka diketahui 11 Jun ini.


TAWAU : Seramai 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun bakal mengetahui nasib mereka pada 11 Jun ini sama ada disabit atau dibebaskan daripada pertuduhan membunuh rakan kolej mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, di Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol menetapkan tarikh itu pada prosiding klarifikasi status hujahan kesemua pihak pagi ini.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua pihak telah memfailkan hujahan bertulis masing-masing dan pihak pendakwaan sendiri telah memfailkan hujahan pada pagi ini.

Beliau bagaiamanapun memohon satu tarikh baharu untuk pihaknya memfailkan hujahan balas berikutan terdapat beberapa peguambela yang mewakili tertuduh memfailkan hujahan lewat.

Duncan kemudiannya mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan balas sebelum atau pada 21 Mei depan sebelum menetapkan tarikh tentatif untuk keputusan pada 11 Jun ini. 

Pada 15 April lalu, pasukan pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil seramai 18 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan peringkat bela diri yang berlangsung selama tujuh hari bermula 10 Mac lalu itu dengan semua 13 remaja terbabit memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Selain itu, tiga saksi awam termasuk ibu dan bapa salah seorang tertuduh serta seorang wanita iaitu peniaga gerai makan berhampiran Kolej Vokasional Lahad Datu.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes mereka.

Kesemua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, bersama TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri.

Manakala lapan daripada 13 tertuduh itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, serta lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama