47 usahawan terima sijil, intensif wallet bernilai RM100

Ewon (dua dari kiri) bercakap ketika ditemui media.

TAWAU: Seramai 47 usahawan Sabah bimbingan Kementerian Usahawan Pembangunan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Bank menerima sijil penghargaan dan intensif wallet bernilai RM100. 

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata pada tahun ini  Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) mensasarkan 3,000 usahawan akan menyertai program-program bimbingan latihan keusahawanan. 

"Untuk sempurnakan program maju usahawan Madani 2025, CEDAR iaitu anak syarikat SME bank bertanggungjawab untuk memberikan latihan dan bimbingan keusahawanan kepada usahawan-usahawan di bawah SME bank.

"Tahun ini, CEDAR mensasarkan 3,000 usahawan menyertai program bimbingan tersebut dan setakat hari ini kita telah berjaya memberi bimbingan kepada 1,062 usahawan termasuk 47 usahawan daripada sabah yang menyertai program kelmarin sempena dengan Program MADANI Rakyat (PMR) di Tawau. 

"Justeru, Saya ingin memberi penghargaan kepada CEDAR dan SME Bank di atas sumbangan ini dan mudah-mudahan program ini mencapai sasaran untuk tahun ini dengan menyediakan pelbagai program latihan dan bimbingan kepada usahawan-usahawan lain, " katanya ketika ditemui media dalam program Sesi Ramah Mesra Usahawan Bersama KUSKOP di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Sabtu. 

Menurut Ewon, dalam merealisasikan sasaran tersebut, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan. 

"KUSKOP memperuntukkan RM2 juta manakala SME Bank memberi sebanyak RM3 juta. 

"Kesemua perbelanjaan ini merangkumi pembiayaan pelbagai skim latihan antaranya kewangan, AI, ASG dan hub Halal seperti mana yang saya sebutkan dalam ucapan saya tadi. 

"Itu sebab kita sentiasa memantau pelaksanaan yang dibuat melalui program sedia ada yang lepas," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, terdapat juga inisiatif khas program pembiayaan usahawan orang kurang puaya (OKU) dan veteran tentera namun sambutan tidak menggalakkan.

"Tentunya kita memang ada atau inisiatif khas program pembiayaan usahawan OKU ini tetapi kita juga melihat kepada sambutan.

"Ini lah cabarannya, saya tahu memang banyak usahawan OKU, mungkin mereka tidak tahu, mungkin mereka segan, yang ini saya harus teliti apakah sebabnya yang jelas sambutan itu memang agak kurang berbanding dengan jumlah pembiayaan yang kita peruntukan untuk program lain yang kita sediakan. 

"Begitu juga dengan skim lain seperti Skim Pembiayaan Veteran ATM yang telah selesai perkhidmatan dalam tentera tetapi dari segi sambutan, ianya tidak mencapai sasaran, jadi kita ingin sambutan itu dan perlukan rakan-rakan media untuk mewar-warkan. 

"Kalau tidak dana yang kita peruntukan itu perlu kita gunakan untuk skim yang lain yang lebih mendapat sambutan. 

 "Apa pun semua agensi ini bukan hanya agensi-agensi KUSKOP tapi agensi-agensi lain dari pelbagai kementerian ingin melihat masyarakat keperluan khas OKU terlibat dan mengambil bahagian dalam aktiviti keusahawanan kita mahu membantu meringankan beban sama seperti kita membantu yang lain juga," katanya.


(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama