![]() |
Masiung sewaktu ditemui media di kediamannya di Kota Kinabalu, hari ini. |
KOTA KINABALU – Pembinaan kilang simen di kawasan Kuamut bukan alasan untuk mengambil kayu balak seperti yang didakwa pihak pembangkang, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Menurutnya, dakwaan tersebut tidak berasas memandangkan kawasan berkenaan terdiri daripada formasi batu kapur yang disifatkan
tidak sesuai untuk pertumbuhan pokok besar atau kayu balak.
"Sebenarnya di sana tidak ada kayu balak. Kamu bayangkan di batu kapur, secara logiknya, adakah pokok besar ataupun kayu balak yang tumbuh di atas batu kapur? Tidak ada," katanya ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Kinabalu pada Ahad.
Tambah beliau, pembinaan kilang simen tersebut hanya melibatkan keluasan sekitar 80 hektar sahaja, jauh daripada dakwaan kononnya ia melibatkan ribuan ekar tanah.
Dalam pada itu, Masiung berkata pihak pembangkang turut memainkan isu kononnya pembinaan kilang itu boleh memudaratkan alam sekitar serta kesihatan penduduk.
Namun jelas beliau, pembinaan projek tersebut perlu melalui pelbagai prosedur termasuk empat Penilaian Impak Alam Sekitar (PIA) yang ketat.
"Ada empat kajian alam sekitar yang perlu kita lalui. Pertama, PIA untuk kerja pembersihan tapak, yang kedua untuk kuari, ketiga untuk pembinaan bangunan kilang dan keempat untuk pembinaan jalan raya kerana melibatkan pemotongan bukit dan cerun.
"Ketika ini kerja-kerja yang sedang dijalankan hanya melibatkan pembersihan tapak kerana hanya bahagian itu yang telah mendapat kelulusan PIA," tambahnya lagi.