![]() |
Masiung ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Pembinaan kilang simen di Tongod dijangka bakal mengatasi masalah kekurangan bekalan simen di Sabah, selain membantu menurunkan harga bahan binaan itu.
Menurut Pengerusi Borneo Cement Sabah (BCS) Sdn Bhd, Datuk Masiung Banah, kilang tersebut mampu meningkatkan keupayaan pengeluaran simen tempatan sebanyak 5,000 tan sehari apabila siap kelak.
Katanya, projek tersebut kini hanya berada pada tahap kerja-kerja pembersihan tapak, yang diperlukan untuk menyediakan kawasan bagi pembinaan kilang simen tersebut.
“Sabah pernah menghadapi masalah kekurangan bekalan simen, hingga pemaju dan kontraktor terpaksa menunggu hingga dua minggu untuk mendapatkannya. Dengan pembinaan kilang ini, kita berharap isu ini dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual media dalam Majlis Aidilfitri Datuk Masiung Banah bersama media tempatan dan nasional Sabah yang bertempat di kediamannya di Taman Deluxe Kepayan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Sabah memiliki sumber bahan mentah seperti batu kapur, pasir, dan tanah liat yang mencukupi disamping dapat mengurangkan keperluan untuk mengimport bahan tersebut.
Katanya, dengan pengeluaran simen tempatan yang mencukupi, harga simen di Sabah dijangka dapat menurun sekitar RM1 hingga RM2 bagi setiap beg.
“Semestinya ia boleh membantu masyarakat di kawasan saya untuk mendapatkan peluang pekerjaan,” jelas beliau.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa pembinaan kilang simen terbabit juga mampu mencipta peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.
“Kita anggarkan lebih kurang 1,000 orang yang akan bekerja di sana. Kita buka kepada masyarakat di seluruh Sabah yang berkelayakan dan berminat,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa Pembinaan kilang simen di Tongod dibiayai sepenuhnya oleh pelabur tempatan.
Manakala pembinaan fizikal kilang tersebut dilaksanakan oleh Sinoma International Engineering Co. Ltd, sebuah syarikat terkemuka dari China yang tergolong dalam 10 pengeluar simen terbesar dunia.
Sebelum ini, beliau juga menjelaskan bahawa pelabur utama dari China sedang giat melaksanakan kerja-kerja awal, termasuk pembinaan jalan yang menghubungkan tapak kilang di Kampung Kayawoi dengan jalan utama di Kampung Matiku, Nabawan.