![]() |
Pasangan kekasih direman 4 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 kerana menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian. |
TAWAU: Tindakan sepasang kekasih menyembunyikan kelahiran bayi pramatang membawa padah apabila mereka ditahan polis selepas kematian bayi terbabit terbongkar.
Remaja perempuan berusia 18 tahun dan teman lelakinya, 23 tahun, direman empat hari selepas perintah dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.
Reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran sehingga menyebabkan kematian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata siasatan awal mendapati remaja terbabit melahirkan bayi berusia 27 minggu di rumah sewanya dekat pusat bandar ini, kira-kira jam 11 malam, 18 April lalu.
"Suspek mendakwa bayi berkenaan tidak menangis atau bergerak selepas dilahirkan.
"Teman lelakinya kemudian datang dan menguruskan pengebumian bayi itu di sebuah tanah perkuburan dua hari kemudian, tanpa membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kes itu terbongkar selepas doktor Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Tawau membuat laporan mengenai seorang ibu muda berisiko tinggi yang tidak pernah mendapatkan rawatan semasa hamil.
Katanya, susulan itu, jururawat KKIA menjalankan lawatan ke rumah remaja terbabit pada 22 April sebelum membawanya ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan dan temu bual mendapati suspek mengaku melahirkan bayi pramatang dengan anggaran berat satu kilogram di rumah tanpa sebarang bantuan perubatan.
"Kematian bayi itu bagaimanapun dianggap meragukan kerana tiada pemeriksaan atau pengesahan dibuat sebelum dikebumikan," katanya.
Pasangan itu ditahan jam 5.45 petang semalam dan kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.