29 lepasan SPM, STPM dan wanita Tamparuli sertai bengkel penulisan dan ucapan awam

Jahid (depan, dua dari kiri) dan Johan (depan, kanan) bersama dengan peserta-peserta Bengkel Penulisan Asas Berita dan Pengucapan Awam untuk lepasan SPM, STPM dan wanita Tamparuli.


TAMPARULI: Seramai 29 peserta dari sekitar daerah ini telah mendapat manfaat daripada Bengkel Penulisan Asas Berita dan Pengucapan Awam, anjuran Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Johan Jahid.

Kebanyakan peserta yang menyertai bengkel asas tersebut adalah golongan muda yang baru meghabiskan peperiksaan SPM dan STPM, di mana mereka didedahkan bagaimana penghasilan berita dan artikel yang bertanggungjawab, bertujuan untuk percambahan ilmu, perkongsian maklumat dan penyebaran isu semasa.

Menurut Johan, penganjuran tersebut diharap akan menambah kemahiran anak-anak muda yang bakal melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam menghasilkan artikel yang berkualiti tinggi.

"Walaupun sasaran kita semuanya anak muda, penyertaan bengkel tersebut juga mendapat perhatian daripada golongan wanita yang sering menghasilkan artikel-artikel untuk aktiviti di kampung-kampung dan buletin gereja.

"Peserta juga didedahkan dengan teknik pengucapan awam dan pembuatan kandungan digital yang bertanggungjawab, mencari topik yang menarik dan mempromosikan keindahan dan keunikan Sabah dari pelbagai sudut termasuk pelancongan, budaya dan makanan," katanya.

Bengkel tersebut telah diadakan di MJ Corner, di sini, pada Isnin.

Presiden Wartawan Sabah, Mariah Doksil, telah menjadi penceramah bengkel tersebut dan berkali-kali mengingatkan agar para peserta sentiasa mengamalkan pemantauan kendiri ketika memuatnaik kandungan di pelbagai platform media agar penulisan atau karya mereka tidak melanggar etika-etika penulisan.

Bengkel Penulisan Asas Berita dan Pengucapan Awam tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Jahid Jahim.

Menurut ucapan ringkasnya, Jahid menyeru para peserta agar memanfaatkan semua ilmu yang telah dikongsikan oleh penceramah, dan berharap dapat digunakan di peringkat komuniti untuk penghasilan artikel-artikel dan kandungan digital yang berimpak tinggi.

Jahid juga menggalakkan anak-anak muda untuk sentiasa mencari kemahiran-kemahiran insaniah lain untuk kegunaan ketika melanjutkan pelajaran mahupun ketika menceburkan diri dalam bidang pekerjaan.








Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama