Balai Polis Luyang terima sumbangan 4 motosikal untuk rondaan cegah jenayah

Mclaren menerima sijil penghargaan daripada Sub Inspektor Rashidi sambil disaksikan Nik Md Zain di Balai Polis Luyang, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Balai Polis Luyang, di sini, menerima sumbangan empat motosikal untuk kemudahan anggotanya menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar Luyang.

Motosikal yang didermakan KK Auto Detailer Sdn Bhd itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dalam menyumbang kepada masyarakat menerusi pasukan keselamatan.

Sumbangan itu diserahkan Pengurusnya, Mclaren Zang Ming Hui kepada Ketua Balai Polis Luyang, Sub Inspektor Rashidi Nawawi dalam satu majlis penyerahan ringkas pada Isnin.

Penyerahan motosikal terbabit di Balai Polis Luyang turut disaksikan Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Nik Md Zain Nik Omar.

Mengulas mengenai insiatif CSR itu, Mclaren berkata pihaknya terpanggil membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesedaran pentingnya rondaan bermotosikal di sesuatu kawasan.

"Motosikal ini bagi memudahkan penugasan anggota polis dalam menjalankan rondaan cegah jenayah, khususnya di kawasan Luyang.

"Kita berharap menerusi sumbangan ini, rondaan cegah jenayah dapat ditingkatkan sekali gus menurunkan kadar jenayah di Kota Kinabalu, khususnya di sekitar Luyang," katanya.

Katanya, kehadiran lebih kerap anggota polis bermotosikal di sekitar Luyang selepas ini dapat meyakinkan lagi orang ramai, khususnya penduduk setempat terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

Pada masa yang sama, katanya ia juga sebagai satu amaran kepada penjenayah bahawa sebarang perbuatan jenayah sentiasa diawasi pasukan polis menerusi rondaan di semua kawasan berisiko. - Info X


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama