Sabah sasar kutipan zakat RM155 juta tahun ini - Ruslan

KOTA KINABALU : Sabah menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyasarkan kutipan zakat harta dan zakat fitrah berjumlah RM155 juta bagi tahun ini.

Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Exco Agama, Datuk Ruslan Muharam berkata daripada jumlah itu, kutipan zakat fitrah dianggarkan mencecah RM12.6 juta dengan sasaran seramai 1.68 juta pembayar.

Katanya, jumlah sebenar hasil kutipan zakat fitrah bagaimanapun masih dalam proses pengiraan dan pengauditan oleh Bahagian Zakat dan Fitrah (BZF) MUIS.

"Majlis Ugama Islam Sabah menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah (BZF) menganggarkan pungutan zakat harta dan zakat fitrah berjumlah RM155 juta, dengan pungutan zakat fitrah dianggarkan berjumlah RM12.6 juta dan sasaran jumlah pembayar seramai 1.68 juta orang bagi tahun 2025.

"Jumlah sebenar hasil kutipan zakat fitrah masih belum dapat dimuktamadkan kerana masih dalam proses pengiraan serta pengauditan," katanya.

Bagi Ramadan tahun ini, sebanyak RM20.1 juta telah diperuntukkan BZF untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang layak menerima bantuan.

Jelas beliau, RM18.46 juta daripada jumlah tersebut telah diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf menerusi Skim Bulanan dan Hari Raya.

Manakala baki RM1.6 juta pula akan diagihkan kepada 2,050 wakil amil fitrah yang dilantik MUIS bagi pengagihan bantuan Ramadan tahun ini.

Datuk Ruslan berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yasin Papat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama