Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, jumlah itu merangkumi 95 peratus daripada keseluruhan 72,060 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam sistem eKasih sehingga Disember tahun lepas.
Sebanyak 13 peringkat pembayaran telah dilaksanakan dan dana telah dikreditkan terus ke akaun penerima.
"Berdasarkan laporan pembayaran fasa satu setakat 1 April 2025, seramai 68,238 orang telah berjaya dikreditkan, manakala lima peratus atau 3,822 orang masih dalam proses pengemaskinian data oleh pegawai MySMJ di lapangan,"katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) dalam sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Bagi memastikan tiada golongan layak yang tercicir, Abidin menjelaskan kerajaan negeri turut membangunkan Sistem Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) sebagai platform permohonan dalam talian bagi mereka yang tidak tersenarai dalam eKasih.
Menurutnya lagi, sehingga 31 Mac lepas Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) telah menerima 270,272 permohonan menerusi PADANS, senarai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), pejabat daerah serta sesi libat urus bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan kerajaan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut melantik seramai 85 pegawai MySMJ Profiler yang kini ditempatkan di semua pejabat daerah bagi membantu proses penyelarasan dan verifikasi permohonan.