Sabah perlu makmal ujian sendiri, percepat sijil halal – Ewon

 

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah disaran membangunkan kemudahan makmal ujian tersendiri bagi memperkasa hab halal negeri dan mempercepat proses permohonan pensijilan halal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick berkata, kewujudan makmal ini akan membantu mempercepatkan proses penilaian produk yang memohon sijil halal tanpa bergantung kepada kemudahan di luar negeri.

"Saya mencadangkan Kerajaan Sabah melihat bagaimana untuk memperkasakan halal hub dengan kemudahan makmal ujian kepada produk-produk yang memohon persijilan halal supaya proses permohonan boleh disingkatkan sekiranya kemudahan tersebut dibina di Sabah," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berharap Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Keusahawanan Sabah terus diperkasa sebagai platform penting dalam pembangunan sektor keusahawanan dan koperasi di negeri ini.

Menurut beliau, pada tahun 2024 sahaja, sejumlah 53,398 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi di Sabah menerima bantuan geran dan pembiayaan daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM813.4 juta.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama