RM500 juta selenggara jalan dan jambatan, 30 syarikat konsesi dilantik – Shahelmey


KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah telah melantik lebih 30 syarikat bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan jalan raya dan jambatan di seluruh negeri dengan peruntukan berjumlah RM500 juta.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, lantikan itu melibatkan satu syarikat konsesi utama bagi jalan berturap di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, tiga kontraktor untuk kawasan luar bandar serta 32 syarikat bagi kerja penyenggaraan jalan kelikir mengikut kawasan dan daerah.

"Syarikat konsesi ini telah dilantik sejak 1 September 2004 untuk tempoh 15 tahun dan telah disambung bagi tempoh tambahan bermula 1 September 2019 hingga 31 Ogos 2034," katanya semasa menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.

Jelas beliau, kebanyakan jalan di Sabah telah melepasi hayat reka bentuk asal dan tidak lagi sesuai untuk sekadar penyenggaraan rutin. Justeru, kerja-kerja penaiktarafan menyeluruh amat diperlukan.

Menyedari keperluan itu, kerajaan telah meluluskan peruntukan khas berjumlah RM285 juta pada Januari lalu bagi pelaksanaan kerja penaiktarafan empat jalan utama menggunakan kaedah Cold In-place Pavement Recycling (CIPR).

Empat laluan yang terlibat ialah Jalan Nangoh Paitan Kanibongan, Jalan Kanibongan, Jalan Langkon-Pitas, dan Jalan Sapulut-Kalabakan.

Menurut Shahelmey, penggunaan kaedah CIPR dilihat lebih berkesan bagi memastikan ketahanan jalan dalam jangka masa panjang, sekali gus menjimatkan kos penyenggaraan berulang.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama