![]() |
Seorang bayi lelaki cukup sifat ditemui di sebuah gerai tepi jalan. |
LAHAD DATU: Polis sedang giat mengesan suspek kes buang bayi lelaki cukup sifat di sebuah gerai tidak bernombor di Batu 13 Jalan Jeroco, semalam.
Semalam, penduduk kampung di Batu 13 digemparkan dengan penemuan seorang bayi lelaki yang berbalut kain di dalam sebuah kotak di kawasan gerai tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi lelaki, kira-kira jam 2 petang.
Bagaimanapun, katanya, bayi cukup sifat itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat bayi itu dihantar ke Forensik Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Dzulbaharin memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881225 atau tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.