Penjawat awam dicekup khalwat, lelaki nekad terjun tingkat 3 elak ditahan

 NEWS with Pix 

for Sayang Sabah 

Antara pasangan yang ditahan dalam Ops Cegah Maksiat dijalankan JHEAINS Kunak awal pagi tadi. Foto | JHEAINS Kunak.

KUNAK : Seorang penjawat awam antara tiga pasangan yang dicekup disyaki berkhalwat dalam Operasi Cegah Maksiat yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak dengan kerjasama polis awal pagi tadi.

Operasi bermula sekitar jam 10 malam dan berakhir pada jam 4.30 pagi itu melibatkan serbuan ke atas dua buah hotel bajet sekitar pekan Kunak, hasil aduan awam berkaitan aktiviti mencurigakan yang berlaku di premis berkenaan.

Lebih mengejutkan, dalam salah satu serbuan, seorang lelaki bertindak nekad melompat keluar dari tingkap bilik hotel di tingkat tiga selepas menyedari kehadiran pihak penguat kuasa. 

Lelaki terbabit bagaimanapun berjaya melarikan diri dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

Memetik kenyataan di Facebook rasmi JHEINS Kunak, ketiga-tiga pasangan terbabit memberi pelbagai alasan bagi mengelak ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang.

"Salah satu pasangan mendakwa telah berkahwin secara kampung namun gagal mengemukakan sebarang dokumen sah pernikahan yang diiktiraf pihak berkuasa agama.

"Lebih memeranjatkan, wanita terbabit masih berstatus isteri orang," menurut kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, satu pasangan lain pula mengaku sudah bertunang dan hanya menunggu masa untuk bernikah, namun alasan itu tidak menghalang tindakan undang-undang dikenakan kerana tidak mempunyai ikatan sah berdua-duan di dalam bilik hotel.

"Semua individu itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah, termasuk kesalahan berkhalwat dan bersekedudukan tanpa ikatan yang sah," katanya.

Dalam pada itu, JHEAINS Kunak menegaskan bahawa operasi pencegahan kegiatan maksiat akan diteruskan secara berkala dalam usaha membendung gejala sosial di daerah itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi garis panduan syariah dalam pergaulan dan tidak mengambil ringan isu moral yang boleh mencemar maruah serta nama baik individu dan keluarga.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama