![]() |
Foto ihsan: Polis Daerah Penampang. |
PENAMPANG: Pemandu lori yang menyebabkan kemalangan membabitkan 14 buah kenderaan di Jalan Duvanson berhadapan Sekolah Kebangsaan Tansau, Putatan pada 28 Febuari lalu di hukuman penjara enam bulan.
Lelaki warga asing berusia 56 tahun itu didapati bersalah oleh Mahkamah Kota Kinabalu, di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, hasil siasatan ketika kejadian itu, suspek yang memandu lori didapati cuai sehingga melanggar 14 buah kenderaan lain di kawasan tersebut.
Katanya, susulan kejadian itu, semua kenderaan terbabit mengalami kerosakan yang serius dan telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.
“Suspek yang dihadapkan ke Mahkamah Kota Kinabalu telah didapati bersalah di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan serta denda RM6,000 selain akan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal bayar denda tersebut,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, suspek juga disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959 kerana tinggal lebih masa di Malaysia setelah Pas Visa Mansuh.
Dalam kes berkaitan, katanya, majikan kepada suspek terbabit juga turut dikenakan hukuman di bawah Seksyen 55 (b) (1) Akta Imigresen 1959 kerana mengambil pekerja asing tanpa dokumen.
Sammy mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang serta membahayakan keselamatan awam.