![]() |
Lelaki warga asing ditahan bersama 74 paket syabu dalam serbuan kira-kira jam 7.30 pagi di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 di sini, semalam. Foto | Ihsan IPD Tawau. |
TAWAU: Tindakan seorang lelaki warga asing melarikan diri ketika diserbu polis membawa padah apabila dia berjaya diberkas bersama 74 paket syabu dalam serbuan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, suspek berusia lingkungan 30 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba meloloskan diri, namun berjaya di kejar sebelum ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), IPD Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemui dua kotak plastik lutsinar di dalam beg pinggangnya yang berisi syabu seberat 52.43 gram, dianggarkan bernilai RM2,550.
"Suspek ditahan hasil maklumat risikan dan ujian awal air kencing mendapati dia negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau dikesan.
"Suspek mengaku mendapatkan bekalan daripada rakan yang dipercayai masih berada di kawasan sama dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.