Beliau menolak spekulasi bahawa dua parti tempatan itu mungkin menjauhkan diri daripada gabungan yang mereka bina bersama sejak awal lagi.
“Kenapa tinggalkan sesuatu yang kita sendiri bina, hanya untuk menyertai pihak lain yang mungkin serupa dari segi bentuk, tetapi berbeza dari segi visi dan misi?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu mengulas laporan Free Malaysia Today baru-baru ini yang memetik pandangan pemerhati politik bahawa PBS dan STAR lebih baik kekal dalam GRS daripada keluar.
Menurutnya, kedua-dua parti berkenaan konsisten dalam komitmen mereka terhadap kerjasama politik melalui perancangan strategik bersama, selain memperkukuh pengaruh untuk memastikan GRS terus fokus kepada kemajuan Sabah.
“Spekulasi ini mungkin timbul disebabkan perasaan ingin tahu menjelang pilihan raya negeri, tetapi hakikatnya, tidak ada desakan dalaman untuk berpisah. Malah, kami kini menggandakan usaha untuk terus bekerjasama,” tegasnya.
Joniston turut mengingatkan bahawa tindakan mana-mana parti komponen untuk keluar dari GRS akan menjadi langkah yang merugikan secara politik.
“Kita sepatutnya menumpukan perhatian kepada penyelesaian isu-isu rakyat seperti infrastruktur luar bandar, pemerkasaan ekonomi, dan pembangunan belia – bidang yang sedang diusahakan secara aktif oleh semua parti dalam gabungan ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa PBS dan STAR tetap komited untuk terus membawa kemajuan bersama GRS dan menolak dakwaan bahawa kedua-dua parti akan meninggalkan gabungan itu.
“Spekulasi akan sentiasa wujud menjelang pilihan raya, tetapi tumpuan utama kini adalah mengukuhkan GRS, memastikan kesinambungan dasar, dan membuktikan kami layak diberi mandat sekali lagi,” tambahnya.