![]() |
Phoong, ketika melawat loji janakuasa solar berskala besar berkapasiti 7.5 megawatt (MW) di Balung. |
TAWAU: Sabah terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan tenaga hijau menerusi pelancaran loji janakuasa solar berskala besar berkapasiti 7.5 megawatt (MW) di Balung, Tawau pada Selasa.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, yang menyifatkan pembukaan loji tersebut sebagai pencapaian signifikan dalam menjayakan agenda tenaga hijau negeri.
“Pelancaran loji ini mencerminkan tekad Sabah untuk beralih ke arah penggunaan tenaga bersih yang lebih mampan dan mesra alam,” katanya dalam ucapan perasmian.
Katanya, projek tenaga suria itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Constant Energy, Woodford Solar Energy Holding Sdn Bhd dan Gaya Belian Sdn Bhd.
Phoong memaklumkan bahawa usaha ke arah pembangunan tenaga boleh diperbaharui kini dipertingkatkan, dengan 15 projek loji solar diluluskan sepanjang tahun 2024, melibatkan kapasiti keseluruhan sebanyak 200MW.
“Menjelang tahun 2026, kita menyasarkan kapasiti tenaga solar negeri ini mencapai 350MW, yang dijangka mewakili sekitar 20 hingga 25 peratus daripada campuran tenaga Sabah,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pelaburan dalam sektor tenaga hijau bukan sahaja memberi manfaat dari segi alam sekitar, tetapi juga menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Projek seperti ini bukan sahaja mempelbagaikan sumber tenaga, malah membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan. Tenaga suria tidak hanya menyalurkan kuasa kepada rumah dan perniagaan malah, ianya menjadi pemangkin transformasi ekonomi hijau Sabah,” ujar beliau.
Dalam pada itu, loji solar di Balung menggunakan teknologi pengesan suria terkini, membolehkan panel-panelnya menyesuaikan sudut dalam masa nyata mengikut pergerakan matahari, sekaligus memaksimumkan pengeluaran tenaga walaupun dalam keadaan cuaca berubah-ubah.
“Dengan penggunaan sistem ini, kecekapan penghasilan tenaga meningkat secara signifikan, sambil menjamin bekalan elektrik yang stabil dan bersih. Ini bukan sekadar inovasi, ia adalah pelaburan strategik untuk masa depan tenaga negeri,” jelasnya.
Namun begitu, beliau turut mengakui bahawa pembiayaan kekal sebagai cabaran utama, memandangkan projek berskala besar memerlukan modal pelaburan yang tinggi.
Justeru, kerajaan negeri kini aktif menjalin kerjasama bersama pelabur swasta dan institusi kewangan bagi mempercepatkan proses pelaksanaan.
“Sabah bukan sahaja ingin memenuhi permintaan tenaga domestik, malah beraspirasi untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan tenaga hijau peringkat global. Dengan pendekatan inovatif dan kolaborasi yang kukuh, kita sedang membuka lembaran baharu dalam landskap tenaga negeri,” tambahnya.