Panik tiada cukai Jalan, Insurans, lelaki nekad lari elak diperiksa

Seorang lelaki dikesan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis trafik di Jalan Apas, Tawau.

TAWAU: Gara-gara panik kerana motosikal tiada cukai jalan dan insurans, seorang lelaki nekad melarikan diri ketika cuba diperiksa polis trafik dalam kejadian di bulatan Batu 4, Jalan Apas, di sini semalam.

Dalam insiden kira-kira jam 7.50 pagi itu, tindakan terburu-buru penunggang motosikal berusia 28 tahun itu menyebabkan seorang anggota polis trafik terjatuh ketika menjalankan tugas ‘Point Duty’.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek dilihat berhenti dalam keadaan mencurigakan sebelum panik dan bertindak memulas minyak motosikalnya secara mengejut.

“Akibat tindakan itu, salah seorang anggota trafik terjatuh di atas jalan dan video kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik sekitar jam 10.23 pagi kelmarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jasmin berkata siasatan mendapati motosikal digunakan tidak memiliki cukai jalan serta tiada perlindungan insurans yang sah, tiada cermin sisi dan ubahsuai tanpa kelulusan 

“Empat saman atas kesalahan itu dikeluarkan kepada penunggang terbabit,” katanya.

Jasmin turut menasihatkan orang awam agar tidak melarikan diri daripada pemeriksaan kerana ia boleh membahayakan keselamatan diri dan anggota polis yang bertugas.




Caption: Tangkap layar kejadian tular membabitkan penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada diperiksa polis trafik di bulatan Batu 4 Jalan Apas dekat sini, pagi kelmarin. Foto Tular.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama