![]() |
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin. |
Suspek berusia 45 tahun itu diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau kira-kira jam 4.30 petang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil memegang sebuah kotak.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek bertindak cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya diberkas tidak lama kemudian.
“Hasil pemeriksaan ke atas kotak yang dibawa menemukan satu peket plastik putih berisi bahan hablur jernij disyaki dadah jenis syabu seberat 1,022.11 gram dengan anggaran nilai pasaran sekitar RM35,500.
“Saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah rentas sempadan, dan usaha kini giat dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket lain yang mungkin terlibat.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Kami akan terus memperhebat risikan dan operasi bagi memastikan Tawau kekal aman dan bebas daripada ancaman dadah,” katanya.
Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.