![]() |
Inspektor Jeneral Hary Sudwijanto (kiri) dan Datuk Jauteh Dikun (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu hari ini |
KOTA KINABALU - Polis Sabah akan mengadakan satu mesyuarat khas yang dijadualkan pada awal Jun ini bersama pasukan Polisi Darat (POLDA) Kalimantan Utara (KALTARA), Indonesia bagi membincangkan langkah memperkasa pertukaran maklumat dan koordinasi keselamatan antara kedua-dua pihak.
Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kunjungan hormat daripada POLDA yang diketuai Irjen Hary Sudwijanto hari ini adalah inisiatif untuk memperkukuh kerjasama menangani isu jenayah rentas sempadan.
"Kita telah menetapkan untuk mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan bagi menangani isu-isu yang timbul.
“Ini merupakan usaha untuk memastikan apa juga bentuk jenayah yang melibatkan dua kawasan ini dapat kita tangani secara maksimum melalui pertukaran maklumat antara kedua-dua kepolisian," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada rombongan POLDA di Kota Kinabalu.
Menurut Jauteh, kerjasama yang lebih erat akan membantu menangani isu-isu keselamatan yang sering timbul di kawasan sempadan Sabah dan Kalimantan Utara khususnya.
Mesyuarat rasmi dijangka diadakan di Sabah pada awal bulan Jun ini dan turut melibatkan penyelarasan Prosedur Operasi Standard (SOP) antara kedua-dua pasukan keselamatan.
"Mesyuarat ini kita jangkakan awal bulan Jun, kita buat di Sabah terlebih dahulu dan mungkin akan turut melibatkan beberapa agensi lain untuk penyelarasan SOP dan kerjasama menangani jenayah rentas sempadan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Darat Kalimantan Utara, Irjen. Hary Sudwijanto menegaskan komitmen pihaknya untuk memperkukuh kolaborasi keselamatan di wilayah perbatasan antara Indonesia dan Malaysia.
"Kita akan berkolaborasi dan bekerja bersama dalam menangani permasalahan yang mungkin dan sedang terjadi di wilayah perbatasan baik di Indonesia maupun di Malaysia," ujarnya.
Beliau menambah, komitmen yang dibentuk selepas mesyuarat rasmi nanti akan dilaksanakan dengan penuh kepercayaan tanpa prasangka atau rasa curiga antara kedua-dua pihak.
"Kami percaya bahawa keamanan tidak bisa dibangun sendiri, apa yang diperlukan adalah sinergi, saling percaya, kolaborasi lintas batas yang berkelanjutan, dan komitmen bersama," ujarnya lagi.