Tema "Kaamatan Untuk Semua" eratkan perpaduan rakyat Sabah

KENANGAN... Leonard (tiga dari kanan) bergambar kenangan selepas selesai sesi temubual di SABAHfm.

KOTA KINABALU :  "Kaamatan Untuk Semua" atau dalam bahasa Kadazan, Kaamatan Montok Toinsanan, diangkat sebagai tema Pesta Kaamatan tahun ini.

Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Leonard Stephen Poyong berkata, tema berkenaan dipilih bagi memperkukuhkan perpaduan serta semangat persaudaraan rakyat Sabah, di samping meningkatkan integrasi nasional seluruh rakyat Malaysia.

“Pesta Kaamatan disambut oleh semua lapisan masyarakat di Sabah dan Malaysia tanpa mengira bangsa, etnik, agama, latar belakang mahupun budaya hidup.

“Kaamatan turut menjadi manifestasi keharmonian dan semangat muhibah, selaras dengan konsep Malaysia Madani," katanya selepas sesi temu bual bersama SABAHfm di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Isnin.

Menurut Leonard, pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri dijadualkan berlangsung pada 1 Mei 2025 di Tambunan, dengan pelbagai acara menarik disediakan.

Katanya, antara acara kemuncak ialah majlis perasmian yang bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

"Selain itu, pelbagai gerai pameran termasuk gerai swasta dan kerajaan akan dibuka, dan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNS) turut diadakan serentak.

“Kita juga akan melancarkan projek Rural Agriculture Revolution yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri,” ujarnya.

Tambah Leonerd, pelbagai program dianjurkan bertujuan menarik kehadiran orang ramai ke pelancaran Pesta Kaamatan di Tambunan, sekali gus mempromosikan daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan utama kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.

“Salah satu harapan kita adalah untuk memperlihatkan Tambunan sebagai pusat pelancongan yang berjaya melalui pameran hasil tenunan, pertukangan dan produk tempatan daerah ini.

"Ia turut membuka peluang kepada penduduk sekitar Tambunan termasuk Keningau, Sook, Nabawan dan Pensiangan untuk terlibat secara langsung dalam penganjuran pesta peringkat negeri ini," tambahnya.


(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama