Lagi pemimpin Sabah gesa hormati kestabilan politik GRS-PH Plus


KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan sebarang usaha membentuk kerjasama politik tanpa melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH Plus sebagai langkah pra-matang dan tidak menghormati kestabilan politik yang telah dicapai di Sabah.

Beliau menyambut baik kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali yang menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah perlu difahami melalui konteks politik tempatan, berbeza daripada model politik di peringkat Persekutuan.

Katanya, Sabah mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dihormati, sama seperti Sarawak dan Johor. Sebarang pendekatan politik harus mengambil kira realiti serta sensitiviti politik setempat.

“Sebagaimana yang ditegaskan oleh Datuk Armizan, prinsip asal pembentukan kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan kestabilan di peringkat pusat, tanpa mewajibkan formula politik seragam di Sabah.

“Kerjasama GRS-PH Plus di Sabah adalah hasil rundingan yang matang selepas pembentukan kerajaan Perpaduan, dan terbukti telah berjaya membawa kestabilan kepada pentadbiran negeri,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, hasil kerjasama itu, pelbagai kejayaan telah dicapai termasuk pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang membawa kemajuan dalam sektor pendidikan, infrastruktur, ekonomi digital dan pengurusan sumber asli.

Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut menegaskan bahawa sebarang usaha politik yang cuba mengganggu kestabilan ini, tanpa melalui rundingan inklusif dan menghormati struktur sedia ada adalah tidak wajar dan boleh merencatkan pembangunan negeri.

“Saya menghargai sokongan rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang teguh bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor ketika berlaku perubahan politik besar di peringkat pusat.

“Ia telah membuktikan keikhlasan dalam kerjasama yang berteraskan kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat komited memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pendekatan progresif Perdana Menteri dalam memperkasa Sabah haruslah dihargai dan diteruskan,” katanya.

“GRS akan terus bersikap terbuka dan komited dalam meneruskan kerjasama bersama PH Plus demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama