![]() |
Suspek berjaya ditangkap oleh pihak polis. |
SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan kerana menimbulkan rasa takut dalam kalangan orang awam apabila membawa sebilah parang panjang di kawasan Bandar Indah, semalam.
Tangkapan dibuat kira-kira jam 11 pagi oleh pasukan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan susulan maklumat awam mengenai kejadian itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, laporan diterima berkaitan seorang lelaki yang dipercayai bertindak agresif sambil membawa senjata tajam.
“Bertindak pantas atas maklumat, anggota yang dikerahkan ke lokasi berjaya menahan suspek dan merampas sebilah parang sepanjang 70 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun dan sebatan,” katanya.