![]() |
Sebahagian PATI yang ditahan selepas disyaki bekerja tanpa permit bah di tapak pembinaan sebuah pusat peranginan mewah, dekat sini, semalam. Foto | Ihsan PGA Kunak. |
SEMPORNA : Seramai 25 lelaki warga asing yang dipercayai bekerja tanpa permit sah ditahan dalam satu operasi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Pos Komtak Mataking, Batalion 22 PGA Kunak, di tapak pembinaan sebuah resort mewah, dekat sini, semalam.
Pegawai Memerintah Batalion 22 PGA Kunak, Superintenden Norman Chendan Philip Picha Rumpang berkata, operasi dijalankan susulan maklumat risikan berhubung kehadiran pekerja asing tanpa izin disyaki bekerja secara haram di pulau peranginan berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati enam orang daripada mereka memiliki pasport lawatan sosial yang sah, namun menyalahgunakannya untuk bekerja tanpa permit sah.
"Baki 19 orang lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai memasuki negara ini secara haram atau menggunakan laluan yang tidak sah (diwartakan).
'Turut ditahan, seorang lelaki tempatan yang dipercayai majikan selepas dia menyerahkan sepuluh keping pasport milik pekerja-pekerja asing terbabit," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Norman berkata, kesemua yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil ringan soal penggajian pekerja asing tanpa permit, kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang malah menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Sebarang maklumat berhubung aktiviti pekerja asing tanpa izin boleh disalurkan terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera," katanya.