Edar dadah: Dua lelaki dipenjara seumur hidup, 12 sebatan

 Tertuduh Haris Jumain, 36, (kiri) dan Soon Jhien Haw, 32, (kanan) masing-masing dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau selepas didapati bersalah mengedar dadah.

TAWAU : Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar dadah.

Hakim Datuk Duncan Sikodol, membuat keputusan itu terhadap kedua-dua tertuduh Haris Jumain, 36, dan Soon Jhien Haw, 32, yang didapati bersalah selepas pihak pembelaan yang masing-masing mewakili tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes prima facie pihak pendakwaan.

Haris yang juga seorang buruh ladang warga Indonesia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Tengah 2 Kalabakan, kira-kira 4 petang pada 16 Ogos 2023.

Sementara Jhien Haw, didakwa mengedar dadah jenis sama seberat 379 gram di hadapan sebuah rumah di Lorong Bintang 3, Taman Bintang dekat sini, kira-kira jam 5.55 petang pada 18 Januari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala Haris diwakili peguam Jhassery P Kang bersama Jhesseny P Kang sementara Peguam Kamarudin Mohmad Chinki mewakili Haris.

Nur Nisla dalam hujahnya berkata, pihak pendakwaan maklum dan menghormati pemansuhan Hukuman Mati Mandatori melalui Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, yang memberikan mahkamah pilihan untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebagai ganti kepada hukuman mati.

Walau bagaimanapun, beliau menghujahkan bahawa perkara itu masih bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan dan berat dadah yang dirampas, khususnya bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Oleh itu, beliau memohon hukuman yang dijatuhkan dapat menjadi pengajaran kepada kepentingan awam memandangkan jenayah dadah merupakan satu ancaman besar kepada masyarakat, dan kepentingan awam menuntut agar hukuman yang berbentuk pencegahan dikenakan terhadap tertuduh.

"Pihak pendakwaan juga memohon agar mahkamah mengambil maklum terhadap penularan kes-kes pengedaran dadah khasnya di Tawau, yang dibuktikan melalui pendaftaran kes-kes baharu secara berterusan di mahkamah ini di bawah Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Duncan kemudiannya memutuskan kedua-dua mereka dihukum penjara seumur hidup bersamaan 30 tahun itu dan 12 sebatan berkuatkuasa dari tarikh tangkapan masing-masing.






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama