KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang tiga hari lalu di Kampung Tombongon, Menggatal, di sini ditemui meninggal dunia, petang tadi.
Mayat mangsa berusia 77 tahun itu, ditemui oleh penduduk kampung di kawasan anak sungai, kira-kira satu kilometer dari jalan utama.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mangsa terbabit pada jam 1.20 petang.
Katanya, sepasukan sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 26 kilometer untuk menjalankan operasi mengambil mangsa.
“Kita menerima maklumat awal bahawa mangsa dilaporkan sudah hilang selama tiga hari dan ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba terpaksa menaiki bukit sejauh satu kilometer dan keadaan agak cerun untuk mengangkat mangsa,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Agustavia berkata, pasukan bomba menggunakan sistem tali dalam operasi mengangkat dan membawa naik mangsa terbabit.
“Pihak KKM membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan telah mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.